Islam telah
meletakkan landasan yang jelas terhadap sesebuah ikatan perkahwinan,
iaitu pembinaannya mestilah di atas asas agama, bukannya nafsu semata-mata.
Oleh itu,rumahtangga yang harmoni dan bahagia akan terbentuk melalui rasa
tanggungjawab masing-masing dengan sempurna, kerana perkahwinan yang
diikat melalui akad perkahwinan bertujuan membentuk peribadi dan
mengajak pasangan tersebut supaya berkongsi pendapat, masa, cara hidup untuk
sama-sama menunaikan tanggungjawab masing-masing kearah keluarga yang bahagia.
Keluarga yang baik dan harmoni akan dapat melahirkan masyarakat
yang baik juga, melalui proses pembentukan peribadi dan jiwa anak-anak, yang
mana semua itu bermula daripada sebuah keluarga. Masyarakat dan negara tidak
akan maju dan tidak sempurna jika ahli keluarga yang mendiami sesebuah negara
itu pincang.
Justeru itulah, rumahtangga yang aman dan harmoni dapat dicapai
melalui kerjasama dan tanggungjawab yang baik sesama mereka, seperti berkasih
sayang, sabar, tolak ansur dan wujudnya persefahaman. Untuk memastikan
kerukunan sesebuah rumahtangga dan keluarga, Islam menggariskan peraturan
tertentu yang merupakan tanggungjawab suami dan isteri, iaitu:
Tanggungjawab Suami
Suami adalah ketua keluarga. Antara tanggungjawab suami terhadap
isteri dan keluarganya ialah:
1. Wajib memberikan nafkah kepada isterinya selagi ia memberi
kesetiaan dan ketaatan.
2. Membayar mas kahwin kepada isterinya.
3. Suami mestilah sentiasa melayan isteri dengan penuh layanan
mesra dan kasih sayang.
- Sebagaimana sabda baginda yang bermaksud:
“Berwasiatlah kamu supaya berlaku baik terhadap isteri-isteri.
Sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah SWT dan kamu
menghalalkan persetubuhan dengan mereka dengan kalimah Allah SWT” – (riwayat
At-Tirmidzi)
- Sabda Nabi yang lain:
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang baik budi
pekertinya dan lemah lembut terhadap isterinya” – (riwayat Abu Daud)
- Dalam keadaan lain, Al-Quran juga sentiasa menyarankan suami supaya berbuat baik dengan isteri mereka. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
“…dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan
cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasa) benci kepada mereka (disebabkan
tingkahlakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya); kerana boleh jadi
kamu bencikan sesuatu, sedang Allah SWT hendak menjadikan pada apa yang kamu
benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu) – (Surah An-Nisa’ 4:19)
- Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib yang bermaksud:
“Rasulullah SAW bersabda: Lelaki yang paling baik ialah yang amat
baik terhadap isterinya, dan aku adalah yang paling baik terhadap isteriku.
Tidak ada seseorang yang memuliakan wanita, kecuali dia seorang yang mulia.
Tidak ada yang menghina wanita, kecuali oarang yang rendah pekertinya” –
(riwayat Abu Daud)
4. Suami mestilah memberi bimbingan dan tunjuk ajar yang baik
terhadap isteri mereka dengan didikan agama dan pengajaran yang baik dan
bukan menyeksa mereka.
- Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli
keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu
(berhala)…. – (Surah At-Tahrim 66:6)
5. Memberi layanan yang baik, samada dari segi tingkah
laku, perbuatan, tutur kata dan contoh teladan yang baik.
6. Memenuhi nafkah zahir dan keperluan asasi, seperti
pendidikan, pakaian, tempat tinggal dan makanan mengikut kadar kemampuan suami.
- Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya;
dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari
apa yang diberikan Allah SWT kepadanya (sekadar yang mampu); Allah SWT tidak
memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah
kepadanya. (Orang-orang yang dalamkesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah SWT
akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. – (Surah AT-Thalak
65:7)
7. Memenuhi keperluan nafkah batin
- Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan
(jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan
janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian
apabil mereka telah suci maka datangilah mereka menurut jalan yang
diperintahkan Allah kepadakamu. Sesungguhnya Allah SWT mengasihi oarng-orang
yang sentiasa menyucikan diri” – (Surah Al-Baqarah 2:222)
8. Menjaga dan memberi perlindungan daripada sebarang
ancaman dan bahaya.
9. Berlaku adil terhadap semua isteri jika mereka
mempunyai lebih dari seorang isteri.
Suami mestilah menunaikan tanggungjawabnya dengan memberi nafkah
kepada isterinya bergantung kepada keadaan dan keperluannya. Oleh itu Islam
tidak menentukan kadartertentu dan tidak ada penentuan yang khusus, ia
bergantung kepada pendapatan serta keadaan taraf hidup, kemampuan suami serta
menilai keadaan keperluan.
Biarpun nafkah adalah tanggungjawab suami, namun dalam sebuah
rumahtangga yang sederhana dan suami yang berpendapatan kecil, tidak menjadi
kesalahan untuk isteri bekerja dan membantu suaminya demi memantapkan kehidupan
rumahtangga mereka. Selain itu juga, Islam menegah isteri menuntut nafkah serta
keperluan yang tidak termampu oleh suaminya.
Seterusnya untuk menjamin keutuhan dan keluarga yang bahagia,
masing-masing mestilah merelakan dan sanggup menerima hakikat keadaan
rumahtangga masing-masing, terutamanya bagi suami yang tidak mempunyai
pendapatan yang lebih atau tidak mampu berusaha lebih dan disebabkan taraf
hidup yang tinggi, contohnya di kota dan hidup di bandar. Walaubagaimanapun,
suami mestilah berusaha dan mencari rezeki yang halal dengan bersungguh-sungguh
dan menunaikan tanggungjawabnya terhadap keluarga.
Tanggungjawab Isteri
Dalam sesebuah rumahtangga,isteri juga mempunyai tanggungjawab
tertentu yang wajib dipenuhi, antaranya ialah:
1. Isteri mestilah sentiasa mentati suami mereka dan menjaga maruah
suami mereka selama mana suaminya itu tidak menyuruh atau melakukan perkara yang
bertentangan dengan agama. Dalam sebuah Hadis yang bermaksud, “Andainya aku
ini orang yang menyuruh sesiapa supaya bersujud kepada orang, pasti aku
menyuruh isteri itu bersujud kepada suami mereka”.
2. Isteri mestilah memberikan hak suami yang ingin menyetubuhinya
pada bila-bila masa sahaja selagi ia dibenarkan oleh syara’, contohnya ketika
bersih daripada haid dan nifas.
- Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu. Oleh itu
datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai,dan sediakanlah
(amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah SWT
serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada Hari Akhirat kelak).
Dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang beriman” – (Surah
Al-Baqarah 2:223)
3. Menjaga maruah dirinya baik sewaktu di hadapan suami
mahupun semasa ketiadaannya.
- Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“…Maka perempuan-perempuan yang salih itu ialah yang taat (kepada
Allah SWT dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua
yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan
Allah SWT dan pertolongan-Nya… – (Surah An-Nisa’ 4:34)
4. Menjaga serta membelanjakan segala harta suami
dengan jalan yang baik serta dengan keizinannya terlebih dahulu.
5. Tidak boleh keluar rumah tanpa keizinan suaminya.
6. Tidak boleh menceritakan dan mendedahkan kelemahan
suaminya kepada orang lain.
7. Mesti bertindak sebagai penghibur hati dan sentiasa
melakukan perkara yang mendatangkan kesenangan hati suami mereka.
8. Sentiasa memberikan layanan yang baik kepada
suaminya.
9. Sentiasa menghormati dan taat setia pada suami
sebagai ketua keluarga.
- Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab
terhadap kaum perempuan,oleh kerana Allah SWT telah melabihkan orang
lelaki(dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan,dan juga kerana orng
lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka…”
-(Surah An-Nisa’ 4:34)
Ulasan